PENYAKIT TIBI (Tuberkulosis)
Apakah itu TB (Tuberkulosis)?
TB (Tuberkulosis) ataupun batuk kering adalah
penyakit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Bakteria ini
sering menyerang bahagian paru-paru, tetapi kadang-kala ia juga boleh menyerang
bahagian otak, jantung, tulang belakang, nodus limfa, kelenjar adrenal dan
bahagian usus manusia.
Bagaimanakah TB tersebar?
Anda boleh dijangkiti penyakit TB melalui titisan
air di udara (‘airborne droplets’) yang dicemari kuman TB. Pesakit TB boleh
menyebarkan kuman TB melalui titisan air di udara apabila mereka batuk atau
bersin. Kemungkinan anda dijangkiti penyakit TB bergantung kepada tahap daya
ketahanan tubuh masing-masing. Jika anda mempunyai daya ketahanan tubuh
yang rendah, anda berkemungkinan lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit
TB.
Golongan yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat
jangkitan TB termasuklah:
- Bayi,
kanak-kanak, dan golongan tua;
- Pesakit
yang menghidap penyakit yang boleh mengurangkan daya ketahanan badan
seperti penghidap penyakit HIV, pesakit kencing manis, pesakit buah
pinggang tahap akhir (end stage renal failure) atau pesakit penyakit
kanser;
- Pesakit
yang mengambil rawatan steroid atau rawatan yang menrendahkan tahap daya
ketahan badan seperti pesakit yang telah menjalankan pemindahan organ,
pesakit Systematic Lupus Erythemotosus SLE/rheumatoid, Crohn’s, Ulcerative
Colitis, psoriasis dan sebagainya;
- Pesakit
yang sedang mengambil rawatan kemoterapi.
- Malaysia
adalah antara negara yang mengambil serius tentang ancaman penyakit TB
ini. Pada zaman sebelum merdeka, penyakit TB adalah pembunuh nombor satu
negara kita. Dengan adanya program vaksinasi yang berkesan dan juga
program pengesanan awal dan rawatan TB yang berkesan, kita berjaya
mengurangkan kes jangkitan penyakit TB di Malaysia. Kini, penyakit TB
berada di tangga yang ke-sembilan punca kematian di Malaysia.
Malangnya, terdapat peningkatan dalam
kes-kes baru TB di Malaysia pada tahun-tahun kebelakangan ini. Antara
faktor-faktor penyebab penyakit TB ini kian meningkat adalah disebabkan oleh
kebanjiran pembawa penyakit TB di kalangan imigran atau pekerja-pekerja asing,
yang kebanyakannya tidak menerima vaksinasi untuk TB di negara asal
masing-masing dan datang dari negara yang mempunyai penghidap TB yang ramai.
Selain daripada itu, peningkatan penyakit TB juga datang seiring dengan
peningkatan kes penghidap HIV di negara kita.
Dalam masa yang sama, akibat
kekurangan pengetahuan dan sikap sambil lewa dalam penjagaan kesihatan diri
sendiri, ada sesetengah penghidap pesakit TB ini yang tidak menghabiskan
rawatan TB yang telah diberikan kepada mereka. Ini menyebabkan penyakit TB
mereka berulang dan bakteria TB di dalam tubuh mereka menjadi kebal terhadap
rawatan TB yang sedia ada. Penularan penyakit TB jenis MDR-TB (penyakit TB yang
kebal terhadap beberapa ubat) adalah antara sebab utama sesetengah pesakit TB
sukar sembuh daripada penyakit ini walaupun selepas menerima rawatan.
Oleh sebab itu, semua penghidap
penyakit TB dinasihatkan untuk mendengar nasihat doktor dan mengambil rawatan
TB sehingga habis tempoh rawatan yang telah ditetapkan. Mereka juga disarankan
untuk berjumpa doktor selepas habis tempoh rawatan sekurang-kurangnya sepanjang
tempoh setahun selepas habis rawatan. Ini adalah sebagai langkah pemantauan
untuk mengesan pengaktifan penyakit TB di kalangan pesakit penghidap TB yang
telah melengkapkan rawatan TB.
Apakah kesan TB pada diri penghidap?
Apabila bakteria TB menjangkiti seseorang, ia boleh
merosakkan struktur tisu paru-paru sehingga ia menjadi keras (mengalami
‘fibrosis’), pembentukan nanah di dalam paru-paru (dalam bentuk abses paru-paru
atau ‘empyema’) dan paru-paru berair (‘pleural effusion’). Jika tidak dirawat,
kerosakan ini akan menjadi kekal dan melarat sehingga menyebabkan
paru-paru berlubang (‘cavitating lesions’) atau ‘bronchiectatic’. Apabila
sampai ke tahap kerosakan yang kekal, pesakit akan mengalami kesukaran
bernafas. Kadang-kala walaupun rawatan telah dimulakan, kerosakan paru-paru itu
tidak akan dapat dibaiki semula.
Oleh sebab itu, ia amatlah penting bagi kita untuk
mengesan penyakit TB dari peringkat awal jangkitan. Jika penyakit TB dikesan
dari peringkat awal, kebanyakan pesakit mempunyai reaksi yang baik kepada
rawatan. Malah, selepas 2 minggu rawatan TB, kebanyakan mereka tidak lagi mampu
menyebarkan kuman TB ini kepada individu lain.
Bagaimanakahuntuk saya tahu samada saya menghidap TB
ataupun tidak?
Antara tanda-tanda jangkitan TB adalah:
- Batuk
berpanjangan;
- Batuk
berdarah;
- Sakit dada
semasa bernafas;
- Kesukaran
untuk bernafas;
- Demam
berpanjangan;
- Kurang
selera makan;
- Pengurangan
berat badan yang mendadak; dan
- Berpeluh
malam.
- Untuk
penyakit TB yang tidak melibatkan paru-paru, tanda-tanda jangkitan
bergantung kepada lokasi jangkitan. Sebagai contohnya, jika ia melibatkan
bahagian otak (radang otak disebabkan kuman TB atau ‘TB meningitis’),
penghidap boleh menunjukkan tanda-tanda seperti demam, sakit kepala,
muntah, kekeliruan mental ataupun sawan.
Sesiapa yang menghidap batuk yang berpanjangan lebih
dari dua minggu, anda perlu diperiksa samada anda menghidap penyakit TB
paru-paru ataupun tidak.
Bagaimanakah doktor mengesahkan penyakit TB
paru-paru?
Bagi penyakit TB ‘pulmonari’ (yang melibatkan
paru-paru), doktor dapat mengesan jangkitan TB dalam paru-paru dengan
mengenalpasti bakteria TB dalam kahak pesakit. Ini dibuat dengan mencalitkan
kahak pesakit pada slaid kaca (‘smear’) dan melihat slaid kaca ini di bawah mikroskop.
Selain daripada itu, kahak pesakit juga boleh dicalit pada media kultur untuk
membiakkan kuman bakteria TB. Kaedah ini amat berkesan dan spesifik untuk
mengesan kuman TB. Dengan cara ini juga, kita boleh mengenalpasti jika kuman TB
yang dihidapi sensitif atau tidak pada rawatan TB yang sedia ada.
Selain daripada itu, doktor juga boleh melakukan
imbasan x-ray dada yang boleh mengesan perubahan paru-paru akibat TB. Pada
x-ray pesakit TB, boleh ada tompokan putih, perubahan nodular atau pengerasan
(‘fibrosis’) pada paru-paru.
Ujian ‘Mantoux’ ataupun tuberkulin pula adalah ujian
yang boleh juga dilakukan untuk mengesan TB. Ianya dilakukan dengan
mencucuk sedikit protein tuberkulin di bawah kulit pesakit. Kemudian,
selepas tiga hari, reaksi yang didapati pada kulit akan diukur. Berdasarkan
saiz reaksi ‘melepuh’ pada kulitpesakit, tindakbalas tersebut akan dikira
sebagai ‘positif’ jika ada kesan melepuh lebih daripada 1cm pada kulit pesakit
atau negatif jika tiada reaksi langsung pada kulit pesakit. (Reaksi yang
diperoleh bergantung kepada status daya ketahanan badan pesakit).
Ujian-ujian lain yang boleh dilakukan untuk mengesan
TB termasuklah ujian darah dan ujian molekular seperti ujian ‘Polymerase chain
reaction (PCR). Untuk penyakit TB selain daripada TB di paru-paru, doktor boleh
mengesan kuman TB dengan mengambil sampel bahagian organ yang terlibat seperti
air tulang belakang, serta biopsi atau mengambil sedikit sampel daripada nodus
limfa, bahagian tulang, sumsum, usus dan lain-lain.
Bagaimanakah saya dapat mengelak daripada
mendapat jangkitan TB?
Bagi mana-mana individu yang bertugas untuk merawat
pesakit TB secara langsung, mereka dinasihatkan untuk memakai topeng N95 untuk
melindungi diri mereka daripada terdedah kepada kuman TB. Malangnya,
kaedah ini tidak berapa diamalkan oleh sesetengah orang setiap hari.
Vaksinasi BCG pada masa lahir adalah di antara cara
untuk kita melindungi diri dan anak-anak kita daripada ancaman jangkitan TB
yang memudaratkan seperti TB miliari (jangkitan TB di beberapa organ di dalam
tubuh yang telah merebak melalui saluran darah dan nodus limfa badan) dan TB
meningitis (jangkitan TB di dalam otak). Vaksin BCG berfungsi dengan
merangsangkan sistem daya ketahanan badan kita untuk membina antibodi terhadap
bakteria TB. 80% daripada populasi yang menerima BCG pada masa lahir akan
mendapat perlindungan sekurang-kurangnya selama 15 tahun. Malangnya, ia tidak
mampu melindungi diri kita seratus peratus daripada jangkitan TB kerana kesan
daya ketahanan badan yang dihasilkan berkurangan apabila kita dewasa.
Oleh sebab itu, ia amatlah penting bagi kita untuk
mengesan kes penyakit TB dari peringkat awal dan merawat mereka yang telah
dijangkiti dengan secepat mungkin untuk mengelakkan lebih ramai orang yang akan
terdedah kepada kuman ini daripada mendapat jangkitan TB.
sumber: www.mmgazette.com
penulis: Dr Nur Hidayati
Leave a Comment