KURAP (RINGWORM)
Pengenalan
Kurap atau tinea corporis adalah sejenis penyakit
kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil
dermatophyte.
Tiga jenis dermatophyte yang dikenal pasti
menyebabkan kurap adalah dari jenis Trichophyton, Microsporum dan
Epidermophyton. Selain daripada menjangkiti kulit, kulat-kulat ini juga boleh
menjangkiti kuku dan rambut.
Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan; sama ada
dengan manusia atau haiwan yang berkurap atau dengan sebarang objek yang
mempunyai kulat di atasnya (fomites). Ia juga boleh berjangkit secara
autoinokulasi iaitu jangkitan daripada kawasan lain pada tubuh individu yang
sama contohnya berjangkit di bahagian tangan atau badan akibat digaru dengan
kuku jari yang dijangkiti kulat.
Keadaan kulit yang sentiasa lembap akibat pemakaian
baju yang diperbuat daripada fabrik yang tidak menyerap peluh atau iklim yang
lembap dan panas menggalakkan pertumbuhan dan jangkitan kurap.
Gejala & Tanda
Apabila diamati dengan mata kasar, kulit yang
berkurap mempunyai plak kemerah-merahan yang bersisik dan kadang-kala
terdapat bintik-bintik merah atau bisul-bisul halus di sekelilingnya. Tanpa
rawatan, plak ini boleh membesar dan kadang-kala akan membentuk gelang
kemerah-merahan di sekelilingnya.
Rupa bentuk seperti gegelang inilah yang
menyebabkan ia juga dikenali sebagai ‘ringworm’ walaupun
sebenarnya penyakit ini tidak ada kena mengena dengan jangkitan cacing.
Kurap boleh menjangkiti mana-mana bahagian tubuh termasuklah bahagian
lipatan badan dan kawasan-kawasan yang sering berpeluh dan tertutup
seperti di punggung, peha, perut dan sebagainya.
Jangkitan kurap juga boleh dikenal pasti
dengan menggunakan beberapa teknik penyiasatan seperti kaedah skin scraping dan
kultur kulat. Untuk melakukan skin scraping, kulit berpenyakit akan dikikis di
bahagian sempadannya untuk mendapatkan sisik-sisik kulit. Bahan yang
dikikis akan diletakkan ke dalam titisan cecair potassium hydroxide
di atas slaid kaca dan terus diamati menerusi mikroskop untuk mengecam
kulat tersebut.
Kulat juga boleh dikenalpasti dengan menghantar
bahan kikisan daripada kulit ke makmal dan ia akan dikulturkan di dalam media
kultur khas. Selepas beberapa hari, jenis koloni kulat yang tumbuh dapat
dikenal pasti.
Komplikasi
Kadang-kala, pengecaman jangkitan kurap tidaklah
semudah yang disangka. Masalah ini boleh berlaku kerana kurap boleh menyerupai
pelbagai penyakit kulit yang lain seperti psoriasis, discoid eczema, urticaria,
Bowen’s disease, kusta, sifilis sekunder dan sebagainya (lihat gambar).
Sekiranya kurap telah disapu dengan krim yang
mengandungi steroid terlebih dahulu, rupanya boleh berubah dan ini akan
menyukarkan proses pengecaman. Kurap seperti ini dipanggil tinea incognito.
Penyakit-penyakit kulit yang boleh menyerupai kurap:
a) Psoriasis
b) Discoid eczema
c) Urticaria
d) Bowen’s disease
e) Leprosy
Rawatan
Penyakit kurap boleh dirawat dengan penggunaan ubat
antikulat. Jenis rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti keluasan
kawasan yang dijangkiti, kekerapan jangkitan berulang selepas dirawat, kurap
yang tidak sembuh dengan rawatan sapuan krim dan sebagainya. Sekiranya kurap
hanya melibatkan kawasan kulit yang terhad, ubat dalam bentuk krim adalah yang
paling sesuai. Krim-krim yang mengandungi bahan aktif seperti imidazole,
allylamine, tolnaftate dan cicloprox boleh digunakan. Teknik sapuan krim yang betul
harus digunakan – ubat perlu disapu di atas plak dan melebihi sempadan kurap.
Rawatan perlu dilakukan dua kali sehari selama dua hingga empat minggu,
bergantung pada jenis ubat yang digunakan.
Jika terdapat banyak kawasan yang dijangkiti kurap,
ubat antikulat dalam bentuk kapsul atau pil adalah pilihan yang lebih
praktikal. Di antara ubat antikulat yang kerap digunakan adalah fluconazole,
itraconazole dan terbinafine. Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini mempunyai kesan
sampingan yang tersendiri. Ia boleh berinteraksi dengan ubat-ubat lain dan
boleh menyebabkan ‘hepatitis’ terutamanya pada sesetengah individu. Oleh itu,
pastikan ubat-ubat ini diperoleh daripada pengamal perubatan yang arif tentang
penggunaannya. Anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli
ubat-ubatan tanpa preskripsi terutamanya jika anda juga mengambil ubat-ubat
yang lain.
Pencegahan
Rawatan awal yang mencukupi amat penting untuk
mempastikan jangkitan kurap sembuh dan tidak berulang. Walau bagaimanapun,
jangkitan ini masih boleh berulang sekiranya seseorang itu juga mempunyai
penyakit kencing manis yang tidak terkawal, mempunyai daya imuniti yang rendah,
menerima rawatan kali pertama dengan dos atau jangka masa yang tidak mencukupi
dan pelbagai faktor lain. Elakkan daripada berkongsi tuala, pakaian atau kasut
dengan orang lain dan pastikan kawasan kulit yang terlibat tidak sentiasa
lembap.
RUJUKAN: http://www.myhealth.gov.my
Leave a Comment